KUALA LUMPUR, 23 Sept — Land & General Bhd menyasar untuk melancarkan dua projek pembangunan baharu di Shah Alam dan Bandar Sri Damansara dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM677 juta.

Pengarah Urusan Low Gay Teck berkata projek Sri Damansara akan bermula pada suku ketiga tahun depan bagi pembinaan 732 unit pangsapuri perkhidmatan berkeluasan 650 kaki persegi sehingga 950 kaki persegi, dengan harga bermula kira-kira RM500,000.

“Pembangunan ini akan dilaksanakan di tanah di Sri Damansara Club yang telah dibeli melebihi 5.7 hektar tanah.

“Kami yakin pembangunan ini akan berjalan lancar disebabkan lokasi utamanya serta dihubungkan dengan akses baik terhadap pengangkutan awam,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan ke-57 syarikat itu hari ini.

Low berkata pembangunan rumah teres di U10, Shah Alam juga dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun depan.

“Kami juga akan melancarkan fasa 1A Aria Rimba di Shah Alam yang terdiri daripada 150 unit rumah teres dua tingkat dan 162 unit pangsapuri berketinggian sederhana Rumah Selangorku,” katanya.

Beliau berkata, kempen pemilikan rumah telah membantu merancakkan permintaan terhadap projek akan datang dan projek siap berikutan diskaun yang ditawarkan.

“Kadar faedah kekal kukuh di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Bagaimanapun, pertukaran daripada pinjaman bank kepada jualan terus perlahan kerana kelulusan pinjaman yang ketat oleh bank,” katanya.

Katanya jualan belum dibilkan berjumlah RM160 juta pada masa ini, dengan hartanah tidak terjual bernilai RM30 juta.

Bagi simpanan tanah, ia mempunyai 1,423 hektar tanah di Semenanjung termasuk 1011.7 hektar tanah ladang untuk pembangunan perbandaran pada masa akan datang.

Source: BERNAMA